http://lamankarangan.blogspot.com/2015/05/faedah-faedah-melibatkan-diri-dalam.html
Isnin, Mei 11, 2015 | 8:54 AM
Pada tahun 2011, kerajaan telah memperkenalkan program 1Murid 1Sukan untuk memastikan semua murid terlibat dalam bidang sukan. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah melibatkan diri dalam aktiviti sukan dalam kalangan murid.
Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Pada tahun yang lalu, kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. Contoh aktiviti sukan yang agak popular kini ialah seperti olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy. Persoalannya apakah faedah jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti bersukan?
Faedah bersukan yang utama kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin. Hal ini demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya, setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatih. Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turut membentuk disiplin murid tersebut.
Seterusnya, sukan juga penting bagi melahirkan seseorang murid yang sihat. Hal ini demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan. Misalanya, seseorang murid yang bersukan pada setiap petang akan membakar lemak berlebihan dalam badan. Oleh itu, murid yang aktif bersukan jarang mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan-rakannya yang tidak bersukan.
Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya kerana masa itu emas. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa yang sesuai untuk memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya belajar. Contohnya, seseorang murid yang menyertai pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.
Faedah berikutnya, sukan juga membentuk murid menjadi seseorang yang berfikiran positif. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir secara rasional dan berkeyakinan tinggi serta tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei tetap tidak berputus asa walaupun gagal meraih pingat emas dalam sukan Olimpik baru-baru ini. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan murid yang berfikiran positif.
Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat bermain permainan komputer dan tidak akan menghabiskan masanya untuk berpeleseran di pusat beli-belah, menonton televisyen dan berbual-bual kosong. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan lebih bermanfaat.
Izharnya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawa faedah kepada murid. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan. Saya percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.
http://lamankarangan.blogspot.com/2015/05/langkah-langkah-mengatasi-kemalangan.html
Isnin, Mei 11, 2015 | 8:50 AM
1. Didikan kepada para pemandu
2. Pendidikan di sekolah
3. Membaiki sistem jalan raya
4. Pemantauan oleh pihak berkuasa
5. Kempen-kempen keselamatan
Pada 22 Ogos yang lalu negara kita dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah bas awam dalam perjalanan dari Genting Hinglands menuju ke pusat bandar raya. Dalam kemalangan maut berkenaan, 37 orang penumpang maut, manakala 16 orang yang lain cedera parah apabila bas berkenaan jatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter. Antara punca yang menjadi polemik perbualan sosial termasuklah kecuaian pemandu, keadaan permukaan jalan dan sifat fizikal bas berkenaan yang dikatakan uzur. Walaupun dikatakan malang tidak berbau, kita masih boleh mengambil beberapa langkah yang proaktif dalam memastikan angka kemalangan maut tidak terus meningkat.
Langkah utama dalam mengurangkan angka kemalangan jalan raya sudah pastilah dengan mendidik para pemandu khususnya pemandu pengangkutan awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu. Peratusan tinggi kemalangan dikatakan berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan fokus. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal umpama tidak bermakna.
Kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan melalui pendidikan di sekolah. Sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah juga halnya dalam usaha untuk mendidik pemandu agar lebih berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya maklum akan hal ini dan telahpun memasukkan silibus keselamatan jalan raya dalam pendidikan di sekolah. Secara tidak langsung, anak-anak yang belajar di sekolah boleh mendapat pendidikan secara langsung tentang peraturan dan isu-isu keselamatan ketika berada di jalan raya.
Langkah lain yang boleh diambil pula ialah dengan membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam. Sebagai misalannya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan berlaku jika kenderaan di belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Pihak-pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD) mahupun organisasi berkaitan yang lain perlu berganding bahu dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya serta rondaan secara berkala mampu mengurangkan risiko kemalangan atau paling tidak mendisiplinkan pemandu ketika berada di jalan raya. Namun demikian, pemantauan yang dibuat perlulah secara berterusan dan bukannya mengikut musim kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Langkah terakhir dalam menangani isu yang kian membarah ini sudah tentulah melalui penganjuran kempen-kempen kesedaran dalam hal yang berkaitan keselamatan jalan raya. Pihak swasta dalam hal ini juga boleh menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan kempen-kempen tersebut melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar mahupun Internet. Kempen-kempen yang dijalankan ini perlulah dibuat secara berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batok di tangga. Secara tidak langsung masyarakat akan tahu pihak kerajaan mahupun penganjur kempen ini bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan kecelakaan jalan raya.
Sebagai penutup bicara, banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahupun negara dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak ini perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya setiap langkah yang diambil mendatangkan kesan yang positif. Jika segala langkah telah diambil dan dijalankan dengan sewajarnya, tidak mustahil kita dapat melihat negara yang dicintai ini berkembang menuju ke arah status negara maju setanding dengan negara-negara maju yang lain. Kadar kemalangan jalan raya yang berkurang juga boleh menggalakkan pelaburan asing ke negara kita yang secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi negara.