23 May
PENULISAN ISI : KREATIF DAN KRITIS





TEKNIK PENULISAN KARANGAN TINGKATAN DUA



PENDAHULUAN


Pelajar-pelajar digalakkan untuk menulis DUA hingga TIGA ayat sahaja dalam perenggan ini dan setiap ayat itu terdiri daripada lebih kurang lima belas patah perkataan. Ayat yang perlu ditulis ialah:


A1 = Pernyataan tentang tema karangan ( idea utama atau isu secara am sahaja )
A2 = Isu semasa tentang tema karangan


Contoh:
(A1) Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk mengisi masa lapang dan beriadah. (A2) Pada tahun yang lalu, kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. (Contoh) Contoh aktiviti sukan yang agak popular kini ialah seperti olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy. Persoalannya apakah faedah jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti bersukan? 



PERENGGAN ISI


Untuk memudahkan pelajar-pelajar menulis perenggan isi, maka dicadangkan supaya perenggan tersebut ditulis dengan menggunakan TIGA hingga EMPAT ayat sahaja, iaitu:


B1 = Isi utama: menjawab soalan apa? (ialah / adalah / merupakan)
B2 = Huraian tentang isi utama: menjawab soalan mengapa? (kerana / sebab)
B3 = Huraian tentang isi utama: menjawab soalan bagaimana? (dengan itu / dengan cara / contoh)


Contoh:
(B1) Faedah bersukan yang utama kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin. (B2) Hal ini demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. (B3) Contohnya, setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatih. Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turut membentuk disiplin murid tersebut. 


(Ulang teknik ini dalam perenggan isi yang lain)


KESIMPULAN


Pelajar-pelajar dikehendaki menulis perenggan ini dengan DUA ke TIGA ayat sahaja.


C1 = Kesimpulan atau rumusan tentang isi karangan.
C2 = Saranan atau Cadangan dan harapan penulis tentang isu yang dibincangkan.

C3 = Harapan


Contoh
(C1) Izharnya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawa faedah kepada murid. (C2) Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan. (C3) Saya percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING